Kejernihan dan kesejukan air dari Hutan Lipur Gunung Ledang, Sagil, Ledang setinggi 1276 meter sememangnya memukau para pengunjung yang mencintai kedamalan udara nyaman dan segar. Terletak kira-kira 15 km dari bandar Tangkak dan Lebuh Raya Utara Selatan, ianya sudah pasti menjadi tarikan kepada pelancong baik dari dalam atau luar Daerah Ledang terutamanya pada hujung minggu atau cuti.


Suasana yang damai dan desiran air terjun beberapa tingkat serta bunyi sang unggas cukup mengasyikkan itu mampu memberikan ketenangan untuk para pengunjung berehat dengan aman. Di Hutan Lipur Gunung Ledang ini terdapat beberapa kolam dan is amat sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat sama ada kanak-kanak atau dewasa. Walaupun air terjunnya datang dari Pergunungan Gunung Ledang, para pengunjung yang meminati aktiviti lasak boleh mendaki ke atas melalui anak tangga dan menyusuri akar-akar pokok hingga ke kemuncak Gunung Ledang. Setiap ketinggian yang didaki memberi peluang kepada pengunjung melihat pokok-pokok yang telah berusia 100 tahun. Keindahan flora dan fauna dari pelbagai spesis turut dapat dilihat di Gunung Ledang dan salah satu daripada keunikannya ialah `Orkid Selipar' yang hanya boleh didapati di Gunung Ledang ini sahaja. Hutan Lipur Gunung Ledang yang menjadi hutan simpan inijuga kaya dengan pokok-pokok herba dan akar-akar kayu yang boleh menjadi penawar kepada pelbagai penyakit.