Kemusnahan Balai Polis Bukit Kepong Akibat Dibakar Pihak Komunis

 

Peristiwa Balai Polis Bukit Kepong adalah kesan kekejaman pengganas komunis semasa keadaan darurat selepas Perang Dunia II. Dalam kejadian tersebut Balai Polis Bukit Kepong diserang oleh segerombolan 180 orang pengganas komunis bermula sekitar jam 5.00 pagi pada 23 Februari 1950.

Dalam kejadian tersebut, para anggota polis berjuang habis-habisan sehingga seorang demi seorang gugur. Dua orang isteri anggota Polis Marin turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota-anggota lain sehingga kehabisan peluru. Dalam mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong, 17 orang anggota telah terkorban.

Peristiwa Bukit Kepong adalah pertempuran bersenjata yang bersejarah yang berlaku pada 23 Februari 1950 antara pihak Polis dan Parti Komunis Malaya sebelum kemerdekaan Tanah Melayu tercapai. Pertempuran ini berlaku di kawasan sekeliling Balai Polis Bukit Kepong di Bukit Kepong. Balai Polis yang diperbuat daripada kayu ini terletak ditebing Sungai Muar, sekitar 59 km dari bandar Muar, Johor.

Kejadian ini bermula sebelum waktu Subuh apabila pihak Komunis melancarkan serangan gerila ke balai polis. Ia berakhir dengan tragik apabila pihak Komunis membunuh hampir kesemua Pegawai Polis yang bertugas di situ. Pihak Komunis berhasrat menjadikan contoh dari serangan itu tentang apa yang akan terjadi kepada mereka yang menentang perjuangan Komunis. Dengan memulakan pengepongan, pihak Komunis percaya bahawa mereka akan dapat mengalahkan Polis dan mengawal Balai Polis tersebut dalam tempoh yang singkat. Ini disebabkan beberapa faktor yang menyebelahi mereka:-

1. Kelebihan senjata dan jumlah keanggotaan

2. Lokasi Balai Polis yang terpencil

Balai Polis Bukit Kepong terletak ditebing Sungai Muar, sebuah perkampungan kecil yang terpencil dengan sekitar dua puluh buah rumah dan kedai. Menjelang awal 1950, ia merupakan tumpuan pergerakan pihak Komunis di situ. Ketika itu Balai Polis itu diketuai oleh Ketua Polis Balai (KPB) Sarjan Ray Dancey, yang pernah berkhidmat di Palestin. Ketika serangan ke atas balai tersebut, beliau telah lama ditukarkan dan jawatannya diambil alih oleh Sarjan Jamil Mohd Shah, kemungkinannya perkara yang diketahui oleh penyerang Komunis.

Selain itu,terdapat juga platun campuran 15 anggota Polis Tugas Am dan Konstabel Polis Marin pimpinan Sarjan Jamil sendiri. Ketika itu pasukan ini turut diperkukuhkan oleh tiga Konstabel Polis Khas dan empat Polis Tambahan bagi tugas mengawal dan lain-lain yang menjadikan 22 orang anggota kesemuanya.

Tiga belas isteri dan anak-anak anggota tinggal di Berek Kelamin di sebelah belakang balai. Sistem perhubungan yang sukar adalah sebab utama penempatan pasukan Polis Marin ditempatkan di situ. Malah pengangkutan utama ke Bukit Kepong adalah dengan menaiki bot menyusuri Sungai Muar.

Menurut saksi, terdapat sekitar 200 orang pengganas Komunis daripada Kompeni Bebas ke-4 yang menyerang dan dipercayai diketuai oleh Muhammad Indera, Komunis Melayu yang diperdaya oleh pihak Komunis Cina, di mana pada awal rancanganya Muhammad Indera dimaklumkan bahawa serangan itu sebagai amaran sahaja. Bagaimanapun ia bertukar menjadi tragedi buruk. Ia juga disertai oleh Komisser Goh Peng Tun. Pihak komunis mengepong Balai Polis dengan separuh di bahagian hadapan, bakinya mengelilingi Balai Polis tersebut. Pertempuran bermula sekitar 04.15 pagi apabila Konstabel Jaffar bin Hassan mencabar dan menembak mati seorang pengganas komunis yang sedang memotong kawat duri balai tersebut. Pihak Komunis kemudiannya menyerang dari segenap sudut, terutamanya dari bahagian hadapan. Mereka berharap serangan ini mengejutkan pihak Polis tetapi kini berhadapan dengan tentangan hebat dari anggota-anggota Polis tersebut, terutamanya daripada dua kedudukan Bren Gun yang terletak di dalam kubu di bawah Bilik Kawalan. Sungguhpun lebih sedikit, pihak Polis yang diketuai oleh Sgt Jamil Mohd Shah enggan menyerah walaupun berkali-kali diseru oleh Komunis agar mereka menyerah. Satu persatu anggota gugur apabila pertempuran berterusan dan dua orang isteri Polis yang bertahan turut serta berjuang apabila mendapati suami mereka terkorban semasa pertempuran. 

Sekitar jam 5.00 pagi, pasukan Polis Bantuan beserta sekumpulan penduduk kampung yang lengkap bersenjatakan Raifal dan senapang patah digerakkan dari Kampung Jawa di bawah pimpinan Penghulu Ali bin Mustaffa untuk membantu. Bagaimana pun mereka diserang hendap oleh pihak Komunis yang ditugaskan untuk menghalang sebarang bantuan dari luar. Beberapa orang kampung serta pihak Komunis juga dilaporkan  terkorban dalam pertempuran dikawasan itu. Dan sekitar masa ini juga, kedua-dua kedudukan Sten Gun turut dimusnahkan Komunis.

Sekitar jam 7.00 pagi, pihak Komunis menawan seorang isteri Polis iaitu Mariam Ibrahim, isteri kepada Konstebel Mohamad Jaafar. Dikhabarkan, ketua kumpulan Komunis Mat Indera memaksa Mariam merayu agar pihak Polis menyerah tetapi tidak diendahkan oleh Jamil sendiri. Pada masa ini Fatimah Yaaba dan anaknya Hassan turut ditawan dan dipaksa menyeru pihak Polis agar menyerah. Namun mereka yang bertahan enggan berbuat demikian dan terus berjuang habis-habisan. Apabila mereka enggan menyerah, Mariam dicederakan dan Fatimah dibunuh. Suami Fatimah, Konstabel Abu Bakar Daud yang bertugas sebagai pemandu bot di Sungai Muar turut berjuang menentang pihak Komunis sehingga cedera setelah ditembak di bahagian dada dan tangan ketika mempertahankan botnya.

Dalam detik terakhir pertempuran hebat itu, Komunis telah membakar Berek Kelamin dan Balai Polis secara keseluruhannya. Dua wanita dan anak-anak mereka juga turut terbakar hangus dalam Berek Kelamin tersebut. Pada ketika itu, hanya tiga orang anggota Polis dan seorang pengawal kampung sahaja yang masih hidup. Mereka meluru keluar dari balai yang terbakar dan merempuh kedudukan Komunis serta membunuh sekurang-kurangnya tiga anggota dari kumpulan pengganas yang cuba menghalang mereka. Sementara itu pihak Komunis terus menembak mereka yang cuba lari daripada Balai Polis yang sedang terbakar tersebut. Dan pada ketika ini penduduk kampung Durian Chondong disebelah barat menghantar bot ke Lenga untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai serangan ini.

Hanya selepas lima jam bertempur, barulah pihak Komunis berjaya menawan dan membakar Balai Polis Bukit Kepong. Mereka kemudiannya berundur ke dalam hutan dan meninggalkan kesan kemusnahan serta kematian dahsyat. Pihak komunis turut melontar mereka yang tercedera dan mayat-mayat anggota Polis yang terkorban ke dalam api. Antaranya termasuk Hassan bin Abu Bakar iaitu anak kepada Konstebal Abu Bakar yang dicampak hidup-hidup kedalam api.

Seramai 14 anggota Polis termasuk Sarjan Jamil, 4 Pengawal Kampung, 3 Polis Bantuan, isteri Abu Bakar Daud (Polis yang terselamat) dan tiga anak mereka terbunuh dalam kejadian tersebut. Jumlah kematian adalah seramai 25 orang. Mereka yang terselamat dalam pertempuran tersebut adalah 4 anggota Polis dan 9 ahli keluarga termasuk isteri dan anak mereka.