Pihak KKM ingin mengingatkan orang ramai, khususnya ibu bapa, pengusaha taska/tadika/pra-sekolah serta pihak sekolah terlibat untuk:
1. Tidak membawa anak yang dijangkiti HFMD ke tempat-tempat awam / sekolah / taska / tadika / pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan;
2. Bawalah anak ke fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya menunjukkan gejala HFMD.
3. Sentiasa mengamalkan budaya mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan selepas menyentuh / merawat lepuh;
4. Membersihkan alatan mainan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak serta lantai rumah termasuk tandas dengan menggunakan larutan campuran kloroks;
5. Memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul; dan
6. Membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD sebelum masuk ke kelas.
Bersempena Hari Sukan Negara 2016, komuniti Bukit Kepong juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil bahagian dalam menyahut seruan kerajaan untuk mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti bersukan. Melalui kerjasama dari pelbagai agensi di kawasan Bukit Kepong, satu program telah direncana dan dilaksanakan dalam menyahut seruan tersebut serentak di seluruh Negara. Peserta terdiri daripada komuniti Bukit Kepong baik dari golongan warga emas, wanita, belia, pelajar sekolah mahupun kanak-kanak Tabika KEMAS Zon Bukit Kepong. Fokus aktiviti adalah untuk bersenam secara beramai-ramai melalui aktiviti dan sukaneka yang dijalankan dalam melahirkan generasi yang sihat dan berketerampian serta memupuk semangat kerjasama dan kekeluargaan antara satu sama lain.
Kesihatan
Di Mukim Bukit Kepong, terdapat dua buah Klinik Kesihatan Desa (KKD) iaitu Klinik Kesihatan Desa Kampung Tui dan Klinik Kesihatan Desa Bukit Kepong. Kedua-dua Klinik Kesihatan Desa ini menawarkan rawatan-rawatan bagi kes kesihatan keluarga dan rawatan bagi pesakit luar.
KOSPEN
Program KOSPEN (Komuniti Sihat Perkasa Negara) bagi Mukim Bukit Kepong telah berjaya mendapat tempat dihati masyarakat melalui sambutan positif yang diberikan. Keahlian atau keanggotaan sukarelawan KOSPEN terdiri daripada penduduk setempat yang mana telah diberikan latihan yang bersesuaian dan ianya sedikit sebanyak memudahkan urusan rawatan kesihatan yang akan dilaksanakan di kawasan sekitarnya. Objektif penubuhan KOSPEN adalah untuk membentuk komuniti yang sihat dan produktif melalui pembudayaan gaya hidup yang sihat dengan penekanan aspek-aspek tertentu seperti peningkatan potensi diri, pemantapan sosio ekonomi serta pembangunan yang mampan.
Terdapat 5 skop gaya hidup sihat yang digariskan oleh KOSPEN :-
- Saringan kesihatan sendiri
- Amalan pemakanan sihat
- Hidup yang aktif
- Pengurusan berat badan
- Tidak merokok
Aktiviti KOSPEN Bukit Kepong
Pada 27 Mei 2016 kira-kira jam 11.00 pagi, sekumpulan penduduk Kampung Bukit Bendar bersama beberapa orang Pegawai Kesihatan Daerah Muar telah menjalankan aktiviti Kaji Selidik Kesedaran Kesihatan KOSPEN di kawasan sekitarnya. Bermula dengan perbincangan dan sesi taklimat ringkas di Balairaya Kampung Bukit Bendar, kumpulan ini bergerak ke dari rumah ke rumah bagi menjalankan kaji selidik tersebut. Dengan kerjasama erat dari beberapa individu setempat yang telah dilantik sebagai ahli jawatankuasa KOSPEN kampung, aktiviti tersebut berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan mendapat kerjasama serta tindakbalas yang sangat positif dari penduduk sekitarnya. Tujuan utama aktiviti ini dijalankan adalah tidak lain untuk meneliti dan menilai serta melahirkan kesedaran penduduk setempat akan kepentingan penjagaan dan pengawalan kesihatan seisirumah.